PANTAI BONDI, AUSTRALIA: SYDNEY, 8 Jan (Bernama-dpa) -- Australia melancarkan siasatan mengenai kejadian tembakan di Bondi Beach di Sydney yang menyebabkan 15 orang maut dalam satu perayaan Yahudi, bulan lalu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Siasatan yang dikenali sebagai suruhanjaya diraja itu akan menyiasat kelaziman anti-Semitisme di Australia, tindakan pihak polis dan pihak keselamatan, serta keadaan serangan selain memberi cadangan bagi memperkukuh perpaduan sosial dan menangani ekstremisme, kata Perdana Menteri Anthony Albanese dalam satu kenyataan pada Khamis.
Advertisement
Pada 14 Dis, seorang bapa dan anaknya menyerang perayaan pada hari pertama festival cahaya Yahudi, Hanukkah, mengakibatkan 15 orang terbunuh. Bapa itu ditembak mati oleh pasukan keselamatan manakala anaknya ditahan dalam keadaan cedera parah.
Suruhanjaya diraja digunakan di Australia untuk menyiasat kejadian yang mempunyai kepentingan nasional.
Siasatan ini akan diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Perlembagaan Virginia Bell. Laporan interim dijangka dikeluarkan pada April, manakala laporan akhir dijadualkan menjelang 14 Dis 2026.
Albanese sebelum ini menentang penubuhan suruhanjaya itu, bimbang ia akan menjadi siasatan panjang di seluruh negara dan menarik perhatian tambahan kepada golongan ekstremis. Namun pada Khamis, beliau menegaskan yang keutamaan kerajaan beliau ialah “memupuk perpaduan dan kesepaduan sosial.”
“Siasatan ini bukan permulaan atau penamat terhadap usaha Australia untuk membasmi anti-Semitisme, melindungi diri daripada keganasan atau memperkukuh kesepaduan sosial,” kata Albanese.
“Itu adalah usaha nasional yang berterusan, untuk kita semua.”