KUALA LUMPUR: Seramai 20 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah dibuang kerja selepas didapati terlibat dalam kegiatan pasport terbang sejak 2022 hingga 2025.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam tempoh sama seramai 41 pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati terlibat dalam kes berkaitan pasport terbang.
"Daripada jumlah tersebut, 20 pegawai telah dijatuhkan hukuman buang kerja selepas disabitkan dengan kesalahan.
"Tindakan ini diambil hasil siasatan dalaman yang telus dan berlandaskan peraturan ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Zakaria berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada Isnin berhubung laporan siasatan berkaitan dakwaan aktiviti pasport terbang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
"JIM menghormati peranan dan fungsi EAIC sebagai badan pemantau integriti agensi penguatkuasaan, serta memandang serius setiap dapatan dan syor yang dikemukakan," katanya.
Sehubungan itu katanya, JIM telah dan sedang mengambil tindakan susulan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan perkhidmatan awam dan mekanisme tatatertib yang berkuat kuasa.
"Berhubung kes yang dilaporkan, JIM mengesahkan bahawa tindakan tatatertib telah dilaksanakan terhadap pegawai terlibat selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Image
"Langkah ini mencerminkan pendirian tegas JIM bahawa sebarang salah laku, khususnya yang melibatkan integriti dan kepercayaan awam, tidak akan dikompromi," katanya.
Zakaria berkata, selain itu, JIM menegaskan bahawa setiap kes yang dirujuk oleh EAIC akan diteliti secara menyeluruh dan ditangani dengan serius tanpa sebarang kompromi.
"Bagi tahun lalu, sebanyak 61 kes telah dirujuk oleh EAIC dan kesemua kes terlibat dibawa ke Mesyuarat Jawatakuasa Aduan dan diambil tindakan selaras dengan proses serta peruntukan tatatertib yang berkuat kuasa.
"Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan JIM terhadap prinsip akauntabiliti, integriti dan tadbir urus yang baik," katanya.
Beliau berkata, JIM akan terus memperkukuh pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), meningkatkan pemantauan dalaman serta melaksanakan langkah penambahbaikan secara berterusan.
"Ia bagi memastikan perkhidmatan imigresen dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan selari dengan peraturan yang ditetapkan, demi memelihara kepercayaan rakyat dan kepentingan negara," ujarnya.
Advertisement
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Berapa ramai pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah dibuang kerja kerana terlibat dalam kegiatan pasport terbang?
A: Seramai 20 pegawai JIM telah dibuang kerja selepas didapati terlibat dalam kegiatan pasport terbang sejak 2022 hingga 2025. - Q: Apakah tindakan yang telah diambil terhadap pegawai JIM yang terlibat dalam kes pasport terbang?
A: Tindakan tatatertib telah dilaksanakan terhadap 41 pegawai, termasuk 20 yang dibuang kerja, selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. - Q: Bagaimana JIM memastikan tindakan diambil terhadap kesalahan integriti pegawai?
A: JIM menjalankan siasatan dalaman yang telus dan mengambil tindakan berdasarkan peraturan, serta meneliti setiap kes yang dirujuk oleh EAIC secara menyeluruh tanpa kompromi. - Q: Berapa jumlah kes berkaitan integriti yang dirujuk oleh EAIC kepada JIM pada tahun lalu?
A: Sebanyak 61 kes telah dirujuk oleh EAIC kepada JIM pada tahun lalu dan semua kes dibawa ke Mesyuarat Jawatakuasa Aduan untuk tindakan lanjut. - Q: Apakah langkah penambahbaikan yang diambil oleh JIM untuk memperkukuh integriti perkhidmatan?
A: JIM akan terus memperkukuh pematuhan SOP, meningkatkan pemantauan dalaman, dan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan untuk memastikan perkhidmatan dilaksanakan secara profesional dan berintegriti.