SEOUL: Kerajaan Korea Selatan telah melengkapkan pembangunan teknologi teras bagi kereta api berkelajuan tinggi generasi akan datang yang mampu beroperasi pada kelajuan 370 kilometer sejam (km/j), menjadikannya kereta api berkelajuan tinggi kedua terpantas di dunia dari segi kelajuan operasi, lapor Agensi Berita Yonhap dengan memetik Kementerian Pengangkutan pada Isnin.
Teknologi bagi kereta api yang dinamakan EMU-370 itu direka untuk mencapai kelajuan maksimum 407 km/j. Ia dibangunkan di bawah program penyelidikan dan pembangunan (R&D) kebangsaan, menurut kementerian.
Advertisement
Kerajaan merancang untuk memulakan pembuatan kenderaan pertama pada tahun depan dan menjalankan operasi ujian bermula 2030, dengan pengkomersialan dijangka selepas 2031.
Apabila dikomersialkan, EMU-370 akan menduduki tempat kedua di peringkat global dari segi kelajuan operasi komersial, selepas CR450 dari China, yang kini sedang menjalani operasi ujian pada kelajuan 400 km/j menjelang perkhidmatan komersial yang dirancang pada 2027.
Negara-negara utama seperti Perancis, Jerman dan Jepun ketika ini mengendalikan kereta api berkelajuan tinggi pada kelajuan sekitar 320 km/j, menurut kementerian itu.
Projek itu dilaksanakan dari April 2022 hingga Disember 2025 dan diterajui oleh Institut Penyelidikan Kereta Api Korea, dengan penyertaan tujuh organisasi awam dan swasta.
Sebanyak 22.5 bilion won (US$15.23 juta) telah dilaburkan, merangkumi 18 bilion won daripada kerajaan dan 4.5 bilion won daripada sektor swasta.
-- BERNAMA-YONHAP
TAG: Korea Selatan, kereta api berkelajuan tinggi, kerajaan Korea Selatan, Institut Penyelidikan Kereta Api Korea