Skip to main content

Malaysia

KEBAKARAN SEMBILAN KENDERAAN DI BAYAN LEPAS AKIBAT PERBUATAN KHIANAT - POLIS

GEORGE TOWN, 12 Feb (Bernama) -- Kebakaran yang memusnahkan sembilan kenderaan di kawasan parkir Kondominium Tunas Residensi, Bayan Lepas pada 27 Jan lepas disahkan berpunca daripada perbuatan khianat.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata susulan kejadian itu, tiga individu, iaitu sepasang lelaki dan wanita yang merupakan pemilik sebuah pusat tuisyen, serta seorang pemandu lelaki kepada pasangan terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Advertisement

“Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun ditahan di sekitar kawasan Jelutong tidak lama selepas kejadian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan jelajah mesra sempena Program Advokasi Ops Selamat 25 Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Pasar Awam Jelutong, di sini hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 4.50 pagi itu, sembilan kenderaan yang diparkir di kawasan letak kenderaan kondominium berkenaan musnah dalam kebakaran.

-- LAGI

 

POLIS-KHIANAT 2 (AKHIR) GEORGE TOWN

 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata kenderaan terlibat terdiri daripada lima kereta dan empat motosikal, namun tiada mangsa dilaporkan. 

Dalam perkembangan lain, Azizee berkata polis telah melengkapkan siasatan kes pembunuhan seorang ibu tunggal di Flat Sri Murni, Butterworth pada 4 Feb lepas.

Kertas siasatan kes itu telah diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya negeri hari ini, dan kini menunggu arahan lanjut.

Beliau berkata tiga suspek terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang warga asing termasuk suspek utama masih ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dua suspek tempatan masing-masing berusia 40 dan 46 tahun yang remannya tamat semalam, disambung selama lima hari hingga 16 Feb ini, manakala seorang lagi suspek warga Myanmar berusia 38 tahun disambung reman dua hari hingga Jumaat ini.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa berusia 41 tahun yang bekerja sebagai pemandu van sekolah ditemukan terbaring di atas katil di sebuah bilik di rumah berkenaan dengan kesan kelar pada leher.

-- BERNAMA

 

TAG: polis, siasatan, kebakaran, bunuh, reman

Topic Berkaitan

Must-Watch Video