HULU LANGAT: Kerajaan menyasarkan nilai eksport nanas negara mencecah RM2 bilion menjelang tahun 2027, selari usaha memperkukuh pembangunan industri nanas yang kini dianggap sebagai komoditi strategik bernilai tinggi.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, berkata sasaran itu dibuat susulan prestasi semasa industri berkenaan yang menunjukkan pertumbuhan positif dengan nilai eksport sekitar RM1.4 bilion pada tahun lalu.
“Daripada RM1.4 bilion tahun lepas, kita jangka boleh mencecah RM2 bilion dalam tempoh dua tahun. Nanas juga telah diletakkan sebagai salah satu fokus kementerian dengan peningkatan peruntukan melebihi 100 peratus kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh pembangunan industri nanas yang kini dilihat sebagai satu komoditi strategik bernilai tinggi. Melalui pengurusan ladang moden dan berdisiplin, industri nanas berpotensi menjana pendapatan pengusaha sekitar RM9,000 sebulan bagi setiap hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Lawatan Kerja Rasmi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ke Pusat Pengumpulan Nanas Sungai Gumut di sini, pada Rabu.
Projek Pusat Pengumpulan, Pemprosesas dan Pembungkusan (CPPC) berkenaan dilaksanakan oleh Premium Pineapple Sdn Bhd, melibatkan keluasan keseluruhan 270 hektar dengan tanaman semasa seluas 16 hektar, merangkumi 740,132 pokok nanas MD2 serta kadar kelangsungan hidup tanaman melebihi 97 peratus.
Menurut Foong Hin, nanas Malaysia kini telah menembusi pasaran antarabangsa termasuk Asia Barat, China dan Eropah, dengan jumlah eksport mencecah 76,000 metrik tan, selain usaha berterusan untuk meluaskan pasaran ke New Zealand.
Beliau turut menegaskan Selangor berpotensi besar untuk dimajukan sebagai hab agromakanan moden berikutan kelebihan logistik termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan rangkaian rel, selain sokongan berterusan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Bagi menyokong pembangunan projek, LPNM telah menyalurkan bantuan merangkumi bekalan benih bernilai RM221,800, geran pembinaan sektor ladang berjumlah RM30,000, serta bimbingan teknikal, selain penglibatan komuniti dan belia melalui inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Agropreneur NextGen di bawah KPKM.
Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor, jelas beliau, akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama LPNM dan sektor swasta bagi membangunkan industri nanas secara mampan, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Bisnes